D & T = Lima Syarat yang Membolehkan Perbuatan Maksiat

"Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:
"Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu
melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata:
"Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezeki-NYA."


Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata:
"Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?
"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham.

"Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya:
"Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"


"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab:

"Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"


Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:
"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan:
"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh"


Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar dan berkata:
"Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab:
"Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."



Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata:
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.
"Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah." katanya sambil teresak-esak.

Kesimpulan: JANGAN MELAKUKAN MAKSIAT.

D & T = Jangan Pisahkan Kami

Aku memandangnya. Sayu. Hambar. Lesu. Tanpa rasa. Dia masih seperti itu. Lama aku tinggalkannya. Sejak sebulan lalu. Kami tidak bertegur sapa. Tiada ucap cinta, tiada sentuhan, tiada belaian, tiada... segalanya seperti seolah-olah tidak pernah berlaku.

Aku jadi gelisah, sejak dua hari lalu, urusanku seringkali tertangguh, bermasalah dan tiada penyelesaian. Aku seperti kehilangan sesuatu. Wang? Cukup, malah lebih daripada mencukupi.Lapar? kenyang hingga melampau-lampau, sebut apa sahaja semuanya lalu. Sakit? Aku masih bisa berjalan, berlari, bergerak cergas seperti orang lain. Teman? Banyak teman-teman disisiku yang mengasihiku, ibu bapa yang memberi dorongan padaku.



Lantas apa? Aku ini kehilangan apa dalam hidupku? Aku jadi penasaran terus!!!

Suatu hari aku terpandangnya. Hasrat hati ingin menegur tetapi aku tiba-tiba jadi kaku. Malu, malu kerana aku telah meninggalkannya, malu kerana aku mengabaikannya, malu kerana aku tidak menyentuhnya, membelainya bahkan sudah lama dia tidak kusapa.


Lalu aku beranikan diri. Aku menyentuhnya. Tiba-tiba, hati jadi sayu. Jiwa jadi terharu. Fikiranku keliru. Saat jariku menyentuhnya, segalanya berubah. Lantas ia kucium. Kutatap wajahnya. Dia seakan tersenyum padaku. Aku hiba. Luluh jiwaku. Rasa pedih dan kehilangan mulai hilang sedikit demi sedikit. Kami saling berhadapan.



Aku mulakan bicaraku, sepatah demi sepatah. Dia seolah mendengar. Tuhan pun mendengar sama. Seluruh jasadku jadi menggeletar tiba-tiba katanya, "Setiap yang hidup pasti akan mati." Saat itu aku rasa seolah dia memberitahuku siapa aku sebenarnya.

Tambahnya, kata Tuhan, "Tidak aku ciptakan manusia kecuali untuk menyembahKu." Aku teringat sesuatu.

Aku pernah mendengar itu suatu masa dahulu. Ya, dia pernah mengatakan itu juga. Aku tatap ia lagi. Masih tidak puas. Ah rupanya ada sesuatu antara kami. Ada rindu yang tak berkesudahan. Ada cinta yang tak terungkap. Ada bicara seribu makna.

Lagi.. ada kasih yang masih tak terucap. Terus aku koreksi hati. Ini yang aku cari. Sebuah cinta tinggalan kekasih hati. Sebuah kitab yang tersimpan lama milik Tuhan untuk insan. Beribu bicara tuhan masih tersimpan. Selagi belum kiamat, ia akan terus dibela, dipelihara.



Ah hati mahu kamu rupanya Furqan, Kitaab, A-Zikr, atau nama panggilan biasa mu Al-Quran. Tuhan, jangan pisahkan kami!!! Jangan biarkan aku merana begini! Wahai hati, baliklah padanya. Walau sesibuk mana. Ia masih di situ. Menantimu. Sampai tiba waktumu..